Monday, May 15, 2017

TIPS MEMILIH PAKAIAN BAYI BARU LAHIR

Adakah anda akan menimang cahaya mata tidak berapa lagi? Kalau ya, pastinya anda teruja menantikan kehadiran si comel, dan tentunya sedang membuat persiapan untuk menyambut kelahirannya. 

Berikut adalah tip-tips yang ingin saya kongsikan ketika memilih baju si kecil :

1. Pilih baju yang diperbuat dari kain kapas ( cotton ), ini kerana kain ini lembut, menyerap peluh, nipis dan selesa untuk bayi... sesuai dengan iklim khatulistiwa di Malaysia. Kain cotton juga tahan lasak dan senang dicuci. 

2. Pilihlah potongan seperti romper ( bodysuit) atau jumper kerana ia mempunyai bukaan di bahagian bawah yang memudahkan penukaran lampin dan tidak mengekang pergerakan bayi. Ibu - ibu juga tak perlu membasuh banyak baju, kerana ia berbentuk "one suit". 

3. Pastikan baju bayi tidak banyak hiasan seperti manik, butang atau tali tali yang terbujur. Ini bagi mengelakkan bayi tercekik butang atau terikat dengan tali pada baju. 

4. Beli sekurang- kurangnya 5-7 helai baju saiz newborn (saiz 12) , walaupun mereka akan membesar dengan cepat, anda masih perlukan banyak baju pada minggu- minggu pertama, kerana bayi kerap muak, muntah dan membuang air. Tetapi jika bayi dijangka bersaiz besar, 3.5-4 kg misalnya, pilihlah saiz 14, atau saiz 3 bulan ke atas. 

5. Sesetengah ibubapa memilih penggunaan barut/ bedung  kerana berpendapat bayi kecil sukakan perasaan dikendong dan menjadikan tidur lebih nyenyak. Namun jika kelihatan bayi tidak selesa ketika cuaca panas atau ketika demam, tanggalkan barut dan bedung tersebut. 

6. Digalakkan membasuh terlebih dahulu pakaian baru atau pakaian yang pernah diguna oleh anak terdahulu sebelum memakaikannya pada bayi. 

7. Jika ingin membeli sarung tangan dan sarung kaki, pastikan "cuff" sarung kaki dan tangan sesuai dengan bayi - tidak terlalu longgar hingga mudah tanggal dan tidak terlalu ketat hingga meninggalkan bekas pada tangan/kaki si kecil.

Semoga anda mendapat sedikit panduan membuat pilihan dalam membeli pakaian si kecil. InsyAllah, nanti saya akan kongsikan pula tips pemilihan pakaian utk bayi pramatang pula.

IMTIHAN

Dengan nama Allah

yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jika kau memandang segalanya dari Allah
Yang menciptakan segalanya
Yang menimpakan ujian
Yang menjadikan sakitnya hatimu
Yang membuatkan keinginanmu terhalang
Serta menyusah-nyusahkan kehidupanmu…
Pasti akan damailah hatimu
Kerana Allah tidak bisa mentaqdirkan sesuatu dengan sia-sia

Bukan Allah tidak tahu akan derita hidupmu
Pecahnya hatimu…
Tapi itulah yang Dia mahu
Sekadar untuk menguji sedalam mana cinta dan pengorbananmu
Setinggi mana kesabaran dan keimananmu
Juga kerana Dia tahu
Hati yang sebeginilah selalunya lebih lunak
Dan mudah akrab dengan-Nya

Wallahu’alam.


“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu jika aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.” (as-Saff:10-11)

KEPERLUAN BAYI PRAMATANG

Haba atau kepanasan persekitaran yang cukup

Bayi pramatang tidak mempunyai lemak secukupnya untuk memastikan suhu badan kekal walaupun jika bayi itu diselimutkan. Bayi ini perlu berada di dalam inkubator atau alat pemanas sehingga berat bayi cukup untuk mengekalkan suhu badan...


Pemakanan dan keperluan nutrisi yang lebih tinggi

Ini disebabkan tumbesaran bagi kanak-kanak pramatang secara lazimnya adalah lebih cepat daripada kanak-kanak cukup bulan (catch up growth) lebih-lebih lagi kerana sistem pencernaan makanan adalah tidak efektif seperti kanak-kanak cukup bulan.



Sumber: Kump. Sokongan Anak Pramatang Malaysia

PENJAGAAN BAYI PRAMATANG

Perhatian ekstra perlu diberikan kepada bayi-bayi dalam kategori ini. Suhu badan bayi hendaklah sentiasa berada di paras normal. Bayi juga lazimnya dirawat di dalam inkubator atau diletakkan di bawah pemanas radian. Begitu juga kandungan tahap gula dalam badan sentiasa dipantau untuk mengesan dan memberi rawatan awal sekiranya kandungan gula tinggi atau rendah.

Langkah jimat dan produktif untuk merangsang perkembangan bayi pramatang adalah dengan memberi penyusuan susu ibu secara eksklusif. Cara ini boleh mengelakkan bayi daripada dijangkiti sebarang penyakit.

Bersihkan tangan anda terlebih dahulu sebelum memegang bayi kerana metabolisme dan imunisasinya masih belum utuh menangkis sebarang jangkitan kuman atau penyakit.

Dalam kes tertentu, sekiranya bayi terdedah kepada sebarang komplikasi, mereka dinasihatkan mendapatkan rawatan fisioterapi, terapi cara kerja dan lain-lain terapi. Kerjasama kedua-dua ibubapa amat diperlukan bagi memastikan kesihatan bayi lebih baik dan membesar sihat seperti bayi normal.

Ramai pasangan ibu bapa baru kekok dalam menguruskan bayi baru lahir. Apatah lagi,badan, tangan dan kaki yang kecil serta kulit yang nipis perlu dipegang dengan penuh berhati-hati. Hal ini lebih membebankan bagi bayi baru lahir yang dilahirkan awal daripada tarikh jangkaan lahirnya. Bagi bayi yang lahir tidak cukup bulan tentu lebih sukar untuk menjaganya kerana keadaan anggota badannya lebih kecil dan pelbagai komplikasi yang mungkin berlaku pada bayi ini.

PERSEKITARAN
Kulit bayi pramatang sangat nipis dan tidak mampu menyimpan haba badan dengan baik. Jika suhu tidak stabil bayi mungkin mengalami masalah paru-paru yang lebih teruk. Pastikan suhu sentiasa 27 darjah celcius (suhu bilik) dan sekitarnya berkeadaan bersih.

Pakaikan baju lengan panjang, seluar panjang, sarung kaki dan topi untuk menutupi kepalanya kerana haba banyak hilang melalui kepala.

Jauhkannya daripada orang yang mungkin mempunyai masalah kesihatan seperti batuk atau selesema.

Sumber: Kump. Sokongan Anak Pramatang Malaysia

BAYI PRAMATANG ADA DUA UMUR

Sebenarnya, bayi yang lahir secara pramatang mempunyai dua umur. ‘Umur kronologi’ adalah umur yang dikira bermula selepas dilahirkan. ‘Umur yang disesuaikan’ adalah umur bayi yang sebenarnya, dikira mengikut tarikh bayi itu sepatutnya dilahirkan.

Oleh itu para ibubapa harus memberitahu bahawa anak mereka lahir secara pramatang supaya doctor dan jururawat dapat mengira semula umur bayi menggunakan ‘umur yang disesuaikan’ dan bukan menggunakan ‘umur kronologi’ bagi menilai perkembangan fizikal dan mental bayi.

Jadi jangan bimbang jika bayi ini kelihatan ‘ketinggalan’ dari segi berat badan dan perkembangan mental mereka berbanding dengan bayi yang dilahirkan pada tarikh yang sama. Mereka mula ‘menyaingi’ rakan-rakan mereka apabila mereka mencapai umur dua atau tiga tahun. Pada ketika itu, perbezaan fizikal dan mental mereka, bukanlah disebabkan faktor kelahiran pramatang lagi. Ia boleh disebabkan pelbagai faktor seperti kesihatan dan genetik.

Jadi bagaimana mengira ‘umur yang disesuaikan’ ini?

Katakan umur kronologi sekarang ialah 26 minggu, dan bayi itu dilahirkan kurang 6 minggu dari tarikh sepatutnya. Tolakkan 26 minggu dengan 6 minggu bersamaan dengan 20 minggu. Jadi umur sebenar bayi itu ialah 20 minggu.

Bahagikan umur ini dengan 4, untuk umur dikira dalam kiraan bulan. 20 dibahagikan 4 bersamaan 5 bulan.

Sumber: FB Dr Zubaidi Hj Ahmad

MASALAH YANG SELALU DIHADAPI OLEH BAYI PRAMATANG

JANGKITAN

Jangkitan adalah masalah yang paling membimbangkan bagi bayi pramatang. Ini disebabkan bayi pramatang tidak dapat melawan penyakit sebaik bayi yang lahir cukup bulan. Jangkitan ini boleh berlaku sebelum bayi lahir, ketika proses melahirkan atau selepas dilahirkan. Cara membasuh tangan yang betul dapat mengatasi masalah jangkitan


APNEA

Apnea adalah keadaan yang mana bayi berhenti bernafas. Pada masa itu degupan jantung menjadi perlahan sekali gus bayi mungkin kelihatan pucat dan biru. Apnea sering berlaku bagi bayi yang kurang daripada 30 minggu. Jika masalah apnea ini berlaku dengan kerap bayi memerlukan ubat untuk merangsang sistem pernafasannya.


JUANDIS (PENYAKIT KUNING)

Masalah yang paling kerap bagi bayi pramatang ialah jaundis. Penyakit ini disebabkan oleh bilirubin yang dihasilkan oleh pemecahan sel darah merah. Bilirubin ini menyebabkan kulit dan selaput mata putih bayi menjadi kuning. Jaundis adalah perkara biasa bagi bayi, tetapi jika tahap jaundis terlalu tinggi ia boleh menyebabkan kerosakan bahagian otak atau kecacatan pendengaran.


ANEMIA (KURANG DARAH)

Kebanyakan bayi pramatang akan mengalami masalah anemia. Ini mungkin menyebabkan bayi tidak membesar dan juga jika tahap anemia itu serius ia boleh menyebabkan kegagalan jantung. Masalah pernafasan (respiratory distress syndrome)Masalah ini disebabkan oleh paru-paru yang belum matang dan secara tidak langsung menyebabkan bayi mengalami masalah susah untuk bernafas. Masalah ini agak kerap berlaku. Begitupun, masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan sejenis ubat yang bertindak membuka paru-paru (dikenali sebagai surfactant). Ia membolehkan paru-paru bayi pramatang berfungsi dengan lebih baik.Jika masalah pernafasan ini terlalu serius, bayi itu mungkin memerlukan bantuan pernafasan melalui mesin pernafasan. Penggunaan surfactant yang dibuat secara sintetik mengurangkan komplikasi masalah pernafasan.


PATENT DUCTUS ARTERIOSUS (PDA)

Duktus arteriosus adalah salur darah kecil yang menyambungkan salur arteri paru-paru dan salur aorta. Bagi bayi pramatang yang mempunyai masalah PDA; bergantung kepada besarnya PDA itu, dia boleh mengalami masalah kegagalan jantung. Ada ubat-ubatan yang boleh mengecilkan salur darah ini. Begitupun jika ia tidak berjaya masalah PDA ini boleh diselesaikan melalui pembedahan.


MASALAH RETINA ( RETINOPATHY OF PREMATURITY )

Bayi pramatang mempunyai retina yang agak sensitif. Retina bayi pramatang boleh cedera dan ini boleh menyebabkan masalah penglihatan yang serius. Pada masa dahulu masalah ini dikaitkan dengan penggunaan oksigen yang berlebihan. Tetapi kaji selidik yang dijalankan tidak dapat memberi sebab kenapa ia berlaku.


Sumber: Kump. Sokongan Anak Pramatang Malaysia

Sunday, May 14, 2017

KELAHIRAN PEJUANG KECILKU YANG PERTAMA...

minggu ke-32 : pergi checkup KKIA as per scheduled. Result bp 167/100 & albumin in urin 4+. Nurse terus cuak & berlari dapatkan doktor. Then doktor terus panggil saya & suami tanya macam2... bila saya mengiayakan ada pernah sakit kepala, terus dia marah2 kami sebab tak cepat2 rujuk doktor. Sungguh kami speechless & clueless dgn apa yg berlaku... ketika itu saya rasa sihat je, cuma rasa pening2 sikit

Doktor terus call ambulan & jelaskan kpd kami yg saya perlu dibawa ke HKL warded serta merta. Kami ada minta supaya dirujuk ke hospital lain (menyedari betapa sesaknya HKL) tapi doktor bantah & beritahu utk kes saya ni emergency & hanya HKL yg boleh handle. Maka merasalah saya diusung masuk ke dlm ambulance yg meluncur laju menuju ke HKL, dgn kereta suami mengekori di belakang.

Setibanya di sana, saya diberi suntikan Dexa... utk matangkan paru2 baby katanya. Sejurus selepas itu, perut mula rasa tak selesa & beransur sakit yg amat sangat... hingga hampir jatuh dari wheelchair. Saya kemudian dimasukkan ke wad High Dependency Unit (HDU).

Saya masih ingat betapa kelam-kabutnya doktor2 & nurse2 yg ada di situ... sampaikan doktor yg cucuk tangan utk masukkan saline tersilap langkah hingga bercucuran darah di katil. Ketika itu saya masih menggelupur kesakitan hingga rasa sesak dada & sukar bernafas, serius ketika itu saya fikir dah menghampiri hujung nyawa... (bacaan bp ketika ini 200/150)

Bermacam suntikan dicucuk & bermacam wayar di sambung ke badan. Kesakitan yg dialami mula reda hanya apabila datang seorg nurse ajar saya kawal pernafasan. Rasa sakit tiba2 hilang, cuma badan rasa sangat tak bermaya...penat semacam. Ketika itu barulah terasa sakit jarum yg dicucuk di tangan & terasa bingit bunyi mesin gergasi di sebelah katil. Dan hanya selepas itu suami & ahli keluarga lain boleh masuk ziarah, seorang demi seorang shj.

Di ketika itu juga, doctor pakar slowtalk dgn suami, betapa bahayanya & kritikalnya kondisi saya & perlu keluarkan bayi segera. Perlu dibedah jika tiada apa2 kontraksi yg membolehkan kelahiran normal.

Di malam hari jam 11 saya ditolak masuk ke OT utk emergency ceasarian. Dari awal hingga selesai pembedahan, seluruh badan menggeletar.. Akhirnya jam 1.05 pagi lahir seorang mujahid comel yg menjengah dunia lebih awal dengan izin Allah Azzawajalla.