Perhatian ekstra perlu diberikan kepada bayi-bayi dalam kategori ini. Suhu badan bayi hendaklah sentiasa berada di paras normal. Bayi juga lazimnya dirawat di dalam inkubator atau diletakkan di bawah pemanas radian. Begitu juga kandungan tahap gula dalam badan sentiasa dipantau untuk mengesan dan memberi rawatan awal sekiranya kandungan gula tinggi atau rendah.
Langkah jimat dan produktif untuk merangsang perkembangan bayi pramatang adalah dengan memberi penyusuan susu ibu secara eksklusif. Cara ini boleh mengelakkan bayi daripada dijangkiti sebarang penyakit.
Bersihkan tangan anda terlebih dahulu sebelum memegang bayi kerana metabolisme dan imunisasinya masih belum utuh menangkis sebarang jangkitan kuman atau penyakit.
Dalam kes tertentu, sekiranya bayi terdedah kepada sebarang komplikasi, mereka dinasihatkan mendapatkan rawatan fisioterapi, terapi cara kerja dan lain-lain terapi. Kerjasama kedua-dua ibubapa amat diperlukan bagi memastikan kesihatan bayi lebih baik dan membesar sihat seperti bayi normal.
Ramai pasangan ibu bapa baru kekok dalam menguruskan bayi baru lahir. Apatah lagi,badan, tangan dan kaki yang kecil serta kulit yang nipis perlu dipegang dengan penuh berhati-hati. Hal ini lebih membebankan bagi bayi baru lahir yang dilahirkan awal daripada tarikh jangkaan lahirnya. Bagi bayi yang lahir tidak cukup bulan tentu lebih sukar untuk menjaganya kerana keadaan anggota badannya lebih kecil dan pelbagai komplikasi yang mungkin berlaku pada bayi ini.
PERSEKITARAN
Kulit bayi pramatang sangat nipis dan tidak mampu menyimpan haba badan dengan baik. Jika suhu tidak stabil bayi mungkin mengalami masalah paru-paru yang lebih teruk. Pastikan suhu sentiasa 27 darjah celcius (suhu bilik) dan sekitarnya berkeadaan bersih.
Pakaikan baju lengan panjang, seluar panjang, sarung kaki dan topi untuk menutupi kepalanya kerana haba banyak hilang melalui kepala.
Jauhkannya daripada orang yang mungkin mempunyai masalah kesihatan seperti batuk atau selesema.
Sumber: Kump. Sokongan Anak Pramatang Malaysia
No comments:
Post a Comment