Monday, May 15, 2017

MASALAH YANG SELALU DIHADAPI OLEH BAYI PRAMATANG

JANGKITAN

Jangkitan adalah masalah yang paling membimbangkan bagi bayi pramatang. Ini disebabkan bayi pramatang tidak dapat melawan penyakit sebaik bayi yang lahir cukup bulan. Jangkitan ini boleh berlaku sebelum bayi lahir, ketika proses melahirkan atau selepas dilahirkan. Cara membasuh tangan yang betul dapat mengatasi masalah jangkitan


APNEA

Apnea adalah keadaan yang mana bayi berhenti bernafas. Pada masa itu degupan jantung menjadi perlahan sekali gus bayi mungkin kelihatan pucat dan biru. Apnea sering berlaku bagi bayi yang kurang daripada 30 minggu. Jika masalah apnea ini berlaku dengan kerap bayi memerlukan ubat untuk merangsang sistem pernafasannya.


JUANDIS (PENYAKIT KUNING)

Masalah yang paling kerap bagi bayi pramatang ialah jaundis. Penyakit ini disebabkan oleh bilirubin yang dihasilkan oleh pemecahan sel darah merah. Bilirubin ini menyebabkan kulit dan selaput mata putih bayi menjadi kuning. Jaundis adalah perkara biasa bagi bayi, tetapi jika tahap jaundis terlalu tinggi ia boleh menyebabkan kerosakan bahagian otak atau kecacatan pendengaran.


ANEMIA (KURANG DARAH)

Kebanyakan bayi pramatang akan mengalami masalah anemia. Ini mungkin menyebabkan bayi tidak membesar dan juga jika tahap anemia itu serius ia boleh menyebabkan kegagalan jantung. Masalah pernafasan (respiratory distress syndrome)Masalah ini disebabkan oleh paru-paru yang belum matang dan secara tidak langsung menyebabkan bayi mengalami masalah susah untuk bernafas. Masalah ini agak kerap berlaku. Begitupun, masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan sejenis ubat yang bertindak membuka paru-paru (dikenali sebagai surfactant). Ia membolehkan paru-paru bayi pramatang berfungsi dengan lebih baik.Jika masalah pernafasan ini terlalu serius, bayi itu mungkin memerlukan bantuan pernafasan melalui mesin pernafasan. Penggunaan surfactant yang dibuat secara sintetik mengurangkan komplikasi masalah pernafasan.


PATENT DUCTUS ARTERIOSUS (PDA)

Duktus arteriosus adalah salur darah kecil yang menyambungkan salur arteri paru-paru dan salur aorta. Bagi bayi pramatang yang mempunyai masalah PDA; bergantung kepada besarnya PDA itu, dia boleh mengalami masalah kegagalan jantung. Ada ubat-ubatan yang boleh mengecilkan salur darah ini. Begitupun jika ia tidak berjaya masalah PDA ini boleh diselesaikan melalui pembedahan.


MASALAH RETINA ( RETINOPATHY OF PREMATURITY )

Bayi pramatang mempunyai retina yang agak sensitif. Retina bayi pramatang boleh cedera dan ini boleh menyebabkan masalah penglihatan yang serius. Pada masa dahulu masalah ini dikaitkan dengan penggunaan oksigen yang berlebihan. Tetapi kaji selidik yang dijalankan tidak dapat memberi sebab kenapa ia berlaku.


Sumber: Kump. Sokongan Anak Pramatang Malaysia

No comments:

Post a Comment